BUTTERWORTH, 10 Sept: Seorang gadis menangis teresak-esak apabila motosikal milik kekasihnya disita anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada operasi di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth dekat Bagan Ajam di sini, hari ini.
Menerusi operasi kira-kira enam jam bermula 1 pagi itu, remaja berusia 19 tahun itu merayu agar ia tidak disita apabila motosikal berkenaan digunakannya tanpa pengetahuan kekasihnya yang sedang berada di Terengganu bagi acara pemotoran.
Motosikal yang ditunggang sejauh hampir 40 kilometer dari Sungai Petani, Kedah bersama seorang rakan perempuannya itu dikatakan tidak mempunyai cukai jalan dan insurans selain didapati diubah suai bagi tujuan berlumba haram.
Dia yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 berkenaan turut memberi alasan pergi ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya itu sekadar untuk makan.
Antara yang turut disita pada Ops Khas Motosikal tersebut adalah dua buah motosikal yang ditunggang dua remaja lelaki berusia 15 dan 16 tahun yang dikatakan milik bapa mereka.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, pihaknya mengeluarkan 450 notis atas pelbagai kesalahan pada operasi tersebut.
“Sebanyak 16 buah motosikal turut disita atas pelbagai kesalahan.
“Tujuan operasi ini bukan untuk menghukum (penunggang motosikal), tetapi bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi keselamatan jalan raya,” katanya. – TVS