KUCHING, 9 Sept: Festival 60 Tahun Sarawak Maju Makmur anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Pustaka Negeri Sarawak dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak bermula hari ini hingga 15 September depan.
Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai berkata, objektif festival ini bertujuan untuk menilai peranan, fungsi kepentingan bahasa dan sastera kebangsaan dalam konteks Sarawak sebagai elemen teras menjadikan Sarawak maju dan makmur.
“Festival ini juga berperanan untuk memantapkan dan memperkukuhkan jati diri rakyat Sarawak ke arah mencapai negeri bestari melalui kebahasaan, persuratan dan kebudayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Seminar 60 Tahun Sarawak Maju Makmur di Balai Budaya, DBP Sarawak pada hari ini.
Dalam pada itu, Sasterawan Negeri Sarawak, Datu Dr Adi Badiozaman Tuah yang merupakan salah seorang pembentang bagi Kolokium Sastera Sesi Dua bertemakan Tinta Inspirasi Sastera Sarawak sempena festival ini berkata, kepelbagaian suku kaum di Sarawak yang terdiri daripada 35 kaum dan bangsa yang saling memahami dan bertolak-ansur antara satu sama lain merupakan tonggak kekuatan perpaduan di Bumi Kenyalang ini.
“Sejarah Sarawak cukup menarik kerana rakyatnya yang berbilang kaum dan agama.Kita menghargai kehadiran kepelbagaian kaum di Sarawak yang menjadi satu kekuatan dari segi budaya, bahasa, suku kaum dan agama,” katanya.
Pelbagai pengisian menarik bakal berlangsung sepanjang festival ini antaranya Seminar 60 Tahun Sarawak Maju Makmur, Pertemuan Karyawan Sarawak Ke-10 , Majlis Perasmian Festival 60 Tahun Sarawak Maju Makmur, Kolokium Tahunan Pustakawan Sarawak (SAL.co) 2023, Pertandingan Baca Berita, Wacana Pembelajaran Sepanjang Hayat, Seminar Kearifan Tempatan, Seminar Kearifan Tempatan Sarawak dan Wacana Ilmu Penerbitan dalam Era Malaysia Madani.
Orang ramai dialu-alukan untuk datang memeriahkan Festival 60 Tahun Sarawak Merdeka.-TVS