SARIKEI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Rh Banyang Jamu, Nanga Lijan, Julau ditamatkan namun tiada mayat ditemui.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin yang juga Komander Operasi, kehilangan seorang wanita ketika mencari umbut di Nanga Lijan Julau terus menjadi misteri apabila mangsa masih gagal dikesan sehingga hari ini iaitu hari ke 7 operasi dijalankan.
Jelasnya lagi, pihaknya menemui jalan buntu apabila tidak menemui sebarang jejak yang ditinggalkan oleh Ijah Lassa, 54.
“Penduduk rumah panjang membuat pencarian di kawasan kaki bukit Tugong dan sekitarnya dalam anggaran radius 1km dari bukit.
“Pencarian adalah di kawasan kebun getah dan lada bersebelahan lokasi pasukan penduduk rumah panjang juga dalam anggaran radius 1km dan di sepanjang jalan dan bahu jalan ke kawasan kebun getah dan lada di atas dan kaki bukit.
“Usaha pencarian masih gagal menemui sebarang tanda atau petunjuk mahupun mangsa sendiri,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Menurutnya lagi, pasukan SAR dan tuai rumah Banyang serta ahli keluarga mangsa hilang telah berbincang dan bersetuju untuk menamatkan operasi SAR.
Namun begitu katanya, kes masih disiasat dan dikendalikan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kes ditamatkan oleh agensi SAR seperti bomba, polis dan agensi-agensi kerajaan yang lain tetapi rumah panjang akan membuat pencarian dari semasa ke semasa.
“Sekiranya ada petunjuk atau menjumpai mangsa, pihak rumah panjang perlu memaklumkan perkara itu segera kepada pasukan SAR,” ujarnya.