KUCHING, 8 Sept: Ahli Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) diingatkan meneroka ilmu berkaitan teknologi pembangunan industri automotif yang kini dikuasakan dengan tenaga hidrogen dan elektrik.
Presiden PEKEMA Cawangan Sarawak, Dato Ismail Abang Saufi mengakui inisiatif itu bertujuan agar persatuan itu terus kekal relevan dalam industri automotif yang semakin mencabar.
“Kita mestilah berdaya saing untuk kita terus mengorak langkah ke hadapan. Kita hendaklah terus mempersiapkan diri untuk terus belajar agar kekal relevan dalam industri yang kita ceburi.
“Pembangunan kenderaan elektrik (EV) dan hidrogen umpamanya perlu kita pelajari dan terokai.
“Di peringkat pusat dan di Sarawak banyak program tentang EV telah kita anjurkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PEKEMA Sarawak ke-35 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Turut hadir, Pemangku Presiden PEKEMA Pusat, Dato Mohamed Nazari Noordin.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan pandemik COVID-19 telah memberikan kesan dan impak yang buruk kepada perusahaan automotif, namun pada masa sama ia turut memberikan kebaikan.
“Saya percaya banyak daripada ahli kita telah dapat mengurangkan perbelanjaan operasi syarikat seperti bil utiliti, perbelanjaan perjalanan, elaun dan sebagainya yang sebelumnya kita mungkin lalai untuk membendungnya,” ujarnya. – TVS