MIRI, 8 Sept: Ilmu penjagaan warga emas harus diterapkan kepada generasi muda sebagai persediaan mereka menjaga ahli keluarga yang berusia terutama ibu bapa masing-masing, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus.
Pada masa sama, golongan itu juga harus mempunyai kesedaran serta prihatin terhadap perubahan fizikal serta emosi ahli keluarga yang dikategorikan warga emas berikutan mereka ini memerlukan penjagaan yang khusus.

“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan kepentingan untuk kita bersedia menghadapi situasi apabila ibu bapa mencapai umur warga emas. Kalau kita tidak bersedia, anak kita tidak akan bersedia menjaga kita kerana mereka tidak faham.
“Jadi melalui usaha kecil daripada kementerian kita melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) untuk sekurang-kurangnya bersedia secara mental,” katanya ketika berucap pada Kursus Penjagaan Asas Warga Emas di sini, pada Jumaat.
Selain itu, kata beliau usaha ini juga bagi mengelakkan warga emas daripada terabai dan menjadi gelandangan apabila terdapat anak yang menolak dan tidak mahu menjaga mereka.
“Kita perlu bersedia. Kalau tidak, akan terdapat orang tua terabai dan bertambah gelandangan. Jadi ini antara benda kita perlu bersedia dan sedarkan kepada generasi baru yang akan menjaga kita apabila kita tua nanti,” ujarnya.
Kursus Penjagaan Warga Emas bertujuan mewujudkan kesedaran berkaitan fenomena penuaan dan menyediakan penjaga warga emas yang profesional, berkelayakan dan cekap dalam kalangan komuniti.
Modul terbaru kursus ini yang diguna pakai pada tahun ini merupakan hasil kerjasama Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) yang mempunyai kepakaran dalam bidang penjagaan asas warga emas. – TVS