KUCHING, 8 Sept: Penyanyi yang mendapat julukan ‘klon’ Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Fairuz Misran meninggal dunia hari ini.
Menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 38 tahun, khabar duka itu dikongsikan oleh abangnya, Ruzaidi Mirsan menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
“Innalillahiwainnahirojiun. Menerima perkhabaran sedih bahawa adik yang disayangi Fairuz Misran telah kembali ke Rahmatullah baru sebentar tadi.
“Mohon semua agar mendoakan dan sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang yang beriman. Al Fatihah,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Turut berkongsi, adik Allahyarham, Sazlieyanti dalam satu hantaran di Facebook menyatakan Allahyarham mengalami sakit dada dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital serta disahkan meninggal dunia setibanya di salah sebuah hospital di Labuan pada jam 1:30 tengahari.
Anak jati Sandakan, Sabah itu pernah merakam beberapa lagu antaranya Indahnya Raya dan Untukmu serta berduet dengan penyanyi tempatan, Baby Shima dalam lagu Ikatan Asmara dan Bak Zama.
Sebelum ini Allahyarham juga pernah tampil pada sambutan ulang tahun pertama TVS di sini.
Allahyarham merupakan Bintang P.Ramlee pada 2012 sekali gus pentas itu menyinari bakatnya selain terkenal dengan wajah serta suara mirip lagenda seni tanah air, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.  – TVS