Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datu Hii Chang Kee meninjau persiapan bagi menyambut keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah Ri'ayattudin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di ICQS Sungai Tujoh, Miri, hari ini. Foto: TVS

Kembara Kenali Borneo: Lorong khas disediakan di ICQS Sungai Tujoh untuk laluan Agong dan Permaisuri

ByAkma Salleh

MIRI, 8 Sept: Satu lorong khas disediakan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh, untuk memastikan kelancaran rombongan Kembara Kenali Borneo memasuki bandar raya Miri dari Brunei pada Sabtu ini.

Rombongan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah singgah di Lawas malam tadi dan meneruskan perjalanan untuk bersemayam dua malam di Bandar Seri Begawan, Brunei.

Kembara Kenali Borneo dari Sabah itu akan memulakan jelajah di Sarawak pada Sabtu ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Hii Chang Kee berkata lazimnya pada setiap hujung minggu, banyak kenderaan yang akan keluar dan masuk melalui pintu sempadan ini.

“Kita telah membuat persiapan lebih awal bagi menyambut keberangkatan tiba baginda berdua,” katanya kepada TVS di Kompleks ICQS Sungai Tujoh, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan orang ramai yang datang menyambut keberangkatan tiba ini tidak terlalu sesak.

Turut meninjau persiapan itu ialah Timbalan Pengarah Unit Protokol dan Penganjuran Acara Negeri (UPPAN), Hamdan Sharbini, Ketua Bahagian Protokol Istiadat dan Pengurusan Acara (UPPAN) Norhayati Bidin dan Residen Bahagian Miri, Jamalie Busri.

Ketika berada di bandar raya ini, rombongan diraja dijadual mengunjungi Pusat Kraftangan Miri bagi melawat gerai jualan dan pameran, selain menyaksikan demonstrasi anyaman kraf tangan tradisional Sarawak.

Rombongan Seri Paduka berdua dijadual ke Coco Cabana, sebuah pusat pelancongan yang menempatkan gerai kraf tangan, produk tempatan dan galeri batik linut serta demonstrasi pembuatan produk itu.

Pada sebelah petangnya, Al-Sultan Abdullah serta rombongan akan berangkat ke Kampung Pangkalan Lutong, sebuah perkampungan masyarakat Melayu di bahagian utara bandar raya Miri, bagi menghadiri majlis santapan petang bersama komuniti. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan