KUCHING, 8 Sept: Sarawak memerlukan lebih ramai akauntan bertauliah bagi menjayakan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Roland Sagah Wee Inn.
Walaupun Sarawak kini antara peneraju ekonomi baharu namun masih berdepan kekurangan tenaga kerja profesional dalam perakaunan dan kewangan yang bertauliah.
Sebelum ini, Program Transformasi Ekonomi Malaysia menyasarkan untuk melahirkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2020 namun setakat Jun 2023, hanya terdapat 38,500 ahli berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
“Baru-baru ini MIA mempunyai kira-kira 38,500 ahli berdaftar setakat Jun 2023 yang berkhidmat kepada kira-kira 33.2 juta penduduk di Malaysia, namun kita masih kekurangan 21,000 akauntan bertauliah.
“MIA juga melaporkan bahawa pertumbuhan keahliannya bagi enam tahun lepas secara purata ialah 2.5 peratus pada asas tahunan, jika kita ingin mencapai sasaran awal untuk menghasilkan 60,000 akauntan berkelayakan menjelang tahun 2030.
“Ini bermakna kita memerlukan bilangan akauntan yang berkelayakan untuk berkembang sebanyak enam peratus setahun mulai tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Swinburne Sarawak dan Association of Chartered Certified Malaysia (ACCA) di Universiti Swinburne Sarawak di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakilnya, Ketua Penolong Setiausaha MEITD, Donald Henry Nohed.
Mengulas lanjut, katanya Sarawak perlu berkembang secara purata antara enam hingga lapan peratus setiap tahun sehingga 2030 memandangkan Sarawak perlu menggandakan saiz ekonomi kepada RM282 bilion menjelang 2030.
Justeru, jangkaan pertumbuhan enam peratus dalam profesion perakaunan adalah sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi di Sarawak.
“Sehubungan itu pelancaran dwi Diploma dan MOU ACCA hari ini menandakan satu lagi dorongan penting ke arah mempercepatkan pertumbuhan profesion perakaunan di negara ini dan Sarawak.
“Sejak Sarawak melancarkan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 pada tahun 2021, terdapat tujuh teras strategik untuk memacu ekonomi Sarawak ke arah wilayah berpendapatan tinggi dan maju termasuk pembangunan modal insan.
“Jelas sekali, kami memerlukan lebih ramai akauntan yang berkelayakan untuk membantu strategi pasca-pandemik dan menyesuaikan diri dengan penerokaan ekonomi baharu, peraturan cukai yang berkembang, audit dan piawaian perakaunan; tindakan syarikat, dan cabaran alam sekitar,” katanya. – TVS