Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melambaikan tangan kepada rakyat jelata ketika berangkat pulang selepas Majlis Santapan Bersama Rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di Masjid Sahabat Sindumin Sipitang hari ini. Foto: Bernama.

“Pesta lambaian” meriah walau hujan rai keberangkatan Agong, Permaisuri

ByBernama

SIPITANG, 7 Sept: Meskipun hujan lebat, ‘’pesta lambaian” meraikan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tetap meriah ketika baginda dan rombongan dalam perjalanan dari Penampang ke Sipitang hari ini.

Memasuki hari kelima Kembara Kenali Borneo di Sabah yang merupakan hari terakhir kunjungan Seri Paduka berdua di Sabah, kelihatan ramai penduduk yang menetap dekat bahagian selatan barat Negeri di Bawah Bayu itu enggan melepaskan peluang meraikan keberangkatan Seri Paduka berdua dan rombongan.

Petugas Bernama yang juga sebahagian daripada konvoi Kembara Kenali Borneo melihat sendiri keriuhan dan keterujaan masyarakat setempat menyambut ketibaan rombongan ketika melalui jalan berdekatan kawasan mereka.

Suasana berkenaan antaranya dirakamkan semasa konvoi merentasi Jalan Haji Akhbar Khan sehingga Jalan Sipitang-Beaufort dengan sepanjang hampir dua kilometer bahu jalan dibarisi orang ramai pada kira-kira 3.30 petang tadi.

Kemeriahan sambutan itu diteruskan walaupun hujan turun mencurah-curah ketika konvoi dalam perjalanan dari daerah Beaufort hingga daerah ini yang melibatkan jarak sejauh kira-kira 40 kilometer dengan pelbagai lapisan masyarakat mengucapkan pelbagai ungkapan selamat jalan kepada rombongan Kembara Kenali Borneo.

Penduduk di sini ketika ditemui Bernama berkata kebanyakan mereka menyatakan sanggup dibasahi hujan kerana terlalu ingin bertemu dengan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

Mereka juga berasa berbaloi dapat melihat dan bertemu secara bersemuka dengan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri selepas menunggu keberangkatan tiba Seri Paduka berdua, sejak tengah hari tadi.

Seri Paduka berdua sedang meneruskan perjalanan ke Masjid Sahabat, Sindumin, Sipitang bagi majlis santuni dan ramah mesra bersama rakyat sebelum menuju ke Lawas Waterfront di Sarawak dan kemudiannya memasuki Brunei.

Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan