KUCHING, 8 Sept: Sektor pelancongan di Sarawak memerlukan dana lebih besar menerusi Belanjawan 2024 ke arah menjayakan matlamat menjadikan negeri ini sebagai destinasi tumpuan pelawat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata dana daripada Kerajaan Persekutuan akan dimanfaatkan untuk mempromosikan acara-acara yang diadakan di Sarawak.
“Kami berharap agar kerajaan persekutuan dapat mempertimbangkan untuk memberi peruntukan yang sewajarnya kepada kementerian kami terutamanya melalui MOTAC.
“Sekiranya peruntukan lebihan diberikan kepada pihak MOTAC (Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya) setidaknya ia akan membantu kementerian pelancongan kami dalam mempromosi Sarawak melalui penganjuran acara dan festival sama ada diperingkat negeri mahupun persekutuan atau acara yang dilangsungkan bersama,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapannya menjelang pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober ini, pada satu sidang media di sini, semalam.
Menurutnya lagi, Sarawak merupakan antara negeri terbesar dan mempunyai banyak kemudahan dan prasarana yang perlu dinaik taraf.
Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan meletakkan sasaran tiga juta pelancong mengunjungi Sarawak pada tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum ini dilaporkan berkata jumlah ketibaan pelancong ke Sarawak dari Januari hingga Julai ialah 2,269,855 orang dengan jumlah penerimaan resit pelancongan RM5.77 bilion, berbanding RM1.64 bilion bagi tempoh yang sama pada 2022. – TVS