BUKIT MERTAJAM, 7 Sept: Seorang lelaki yang berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluan di tempat awam baru-baru ini berjaya ditahan polis di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner (ACP) Tan Cheng San berkata, suspek berjaya dicekup selepas diburu tiga hari lepas sejak 3 September lalu.
“Suspek ditahan kira-kira pukul 3.30 petang (6 September) di Jalan Aston oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah SPT.
“Dia yang berusia 50-an dipercayai terlibat dalam kelakuan itu yang videonya turut tular di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi tujuan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
TVS pada 4 September lalu melaporkan, polis memburu seorang lelaki yang bertindak membuka zip seluar dan menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita di tempat letak kereta di Alma di sini pada 3 September lalu.
Video kejadian itu tular apabila aksi tidak senonoh itu dirakam dan dimuat naik ke media sosial oleh individu dipercayai mangsa yang berada di dalam sebuah kereta. – TVS