Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Persidangan Pengangkutan Sarawak 2023, hari ini. Foto: Faitullah Morni

Sarawak akan mulakan kajian kereta api Trans-Borneo – Abang Johari

BySheera Abang Mansor

KUCHING, 6 Sept: Sarawak melalui sokongan Kerajaan Persekutuan akan memulakan kajian kereta api Trans-Borneo, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, projek pembangunan itu akan bermula dengan meneroka kemungkinan rangkaian kereta api yang komprehensif di seluruh Sarawak.

“Rangkaian ini akan memberi perkhidmatan kepada kawasan geografi yang luas, menghubungkan daerah-daerah utama, bahagian dan zon ekonomi utama di Sarawak untuk memudahkan pergerakan masyarakat dan barangan yang cekap dan pada masa yang sama, memangkin aktiviti pelaburan dan perdagangan,” katanya dalam ucapan penutupan Persidangan Pengangkutan Sarawak 2023 di sini, hari ini.

Persidangan tersebut adalah bersempena dengan mesyuarat kluster pengangkutan Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia -Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) yang ke-10.

Abang Johari turut mengulangi komitmen Sarawak dalam memajukan sektor pengangkutan di wilayah ini untuk mewujudkan sistem pengangkutan bersepadu yang selamat, boleh dipercayai, mampu milik, cekap tenaga dan peningkatan pilihan perjalanan bagi penduduk di Sarawak.

“Sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk mentransformasikan sektor pengangkutan, kami menceburi Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang melibatkan penggunaan Autonomous Rapid Transit (ART) dan bas berkuasa hidrogen.

“Tambahan pula, komitmen kami terhadap bahan api mampan telah mendorong kami untuk meneroka kemungkinan ekonomi hidrogen hijau, bukan sahaja untuk menjana kuasa KUTS tetapi juga untuk memupuk pertumbuhan industri berasaskan hidrogen,” tambahnya.

Beliau berkata, Sarawak juga telah meneroka mikroalga sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui, iaitu yang pertama seumpamanya di dunia, yang membawa kepada pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF).

“Kami telah mengambil pesawat Airbus A220-300 airBaltic iaitu yang pertama menggunakan bahan api campuran SAF Sarawak ke Langkawi untuk menentukan bahawa ia selamat dan boleh dipercayai untuk kegunaan komersial,” katanya dan menambah bahawa penyelidikan akan diteruskan bagi menyelidik potensi penggunaannya dalam masa terdekat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan