MUKAH: Penduduk di Bahagian Mukah kini boleh mengukir senyuman apabila memiliki sebuah Lapangan Terbang yang baharu dan moden yang akan beroperasi mulai esok.
Lapangan Terbang Mukah yang memakan kos sebanyak RM360 juta itu dijangka mula menerima penerbangan komersial sulung pada pukul 8 pagi Khamis.
Sebagai permulaan, penerbangan komersial pertama akan dikendalikan oleh syarikat penerbangan Malaysia Airlines MH 3553 yang berlepas dari Lapangan Terbang Miri pada pukul 8 pagi dan akan mendarat di Lapangan Terbang Mukah pada pukul 9.10 minit pagi.
Seterusnya, penerbangan kedua pula akan berlepas dari Mukah pada jam 9.30 pagi menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang mendarat pada pukul 10.15 pagi.
Lapangan Terbang baharu ini juga akan dapat mendaratkan pesawat jenis ATR berbanding hanya Twin Otter sebelum ini.
Untuk rekod, lapangan terbang baharu ini akan mempunyai landasan sepanjang 1,500 meter dan lebar 30 meter, bangunan terminal dengan keluasan sekitar 3,500 meter persegi, Stesen Bomba dan Penyelamat kategori 5 di lapangan terbang, menara kawalan Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Kuarters (Kelas D, E & F) dan Stesen Meteorologi.-EDISI UKAS