KUCHING, 6 Sept: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis Sarawak berperanan dalam memajukan sektor peralihan tenaga serantau dengan perkongsian tenaga hidro dengan jiran serantau melalui kesalinghubungan antara wilayah.
Menurut beliau kesalinghubungan dan kerjasama antara wilayah menjadi lebih penting bagi bergerak ke arah masa depan yang lebih mampan.
“Kesalinghubungan adalah salah satu cara bagi Asia Tenggara untuk mencapai sasaran sifar-bersih serantau dan peralihan tenaga,” katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui edisi ketiga (SAREF 3.0) di sini, hari ini.
Beliau mendedahkan Sarawak telah mengorak langkah dalam saling hubungan tenaga melalui sambungan Borneo Power Grid ke Kalimantan Barat pada 2016.
Beliau mengakui kejayaan projek tersebut mendorong Sarawak untuk meneroka sambungan yang serupa ke Brunei dan Singapura.
“Saya percaya Sarawak boleh menjadi bateri ASEAN yang dapat membantu menghubungkan grid tenaga di rantau ini,” ujarnya.
Abang Johari menyatakan SAREF merupakan platform penting untuk mencapai matlamatSarawak dan menggalakkan peluang untuk meneroka peluang perkongsian wilayah.
Bertemakan ‘Sifar Bersih Serantau dan Komuniti Lestari’ forum kali ini akan memberi tumpuan kepada inisiatif bersih – sifar serantau serta pembangunan dan penyelesaian tenaga hijau.
SAREF 3.0 berlangsung selama dua hari, bermula hari ini 6 dan 7 September di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dianjurkan oleh Sarawak Energy turut disokong Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak. – TVS