KUALA LUMPUR, 6 Sept: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menguatkuasakan syarat untuk mewajibkan kontraktor pembinaan dalam melakukan pengubahsuaian supaya berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata PBT juga perlu menguatkuasakan syarat pemilikan sijil Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) kepada syarikat kontraktor memandangkan setakat ini, syarat itu dipersetujui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) namun penguatkuasaan di peringkat PBT belum dilaksanakan.
“Kadangkala pengubahsuaian sekarang ini dilaksanakan oleh kontraktor tidak berdaftar dengan CIDB dan lebih sedih lagi, kadang-kadang kontraktor tiada kemahiran tertentu menyebabkan kualiti kerja tidak mencapai standard sepatutnya.
“…yang akhirnya rugi adalah pengguna, pemilik rumah yang menggunakan duit simpanan mereka tetapi kualiti kerja tidak memuaskan…sebab itu saya kira bukan sahaja kita mewajibkan, kontraktor yang melakukan kerja pengubahsuaian ini perlu berdaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Melayu Malaysia (PKBM) kali ke-4 dan Konvensyen Kontraktor Muda Bumiputera di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi.
Fadillah berkata dengan mewajibkan kontraktor yang melakukan kerja pengubahsuaian berdaftar dengan CIDB itu, ia akan memastikan kualiti kerja kontraktor di samping hanya kontraktor berkelayakan dapat melaksanakan kerja-kerja berkenaan.
Beliau berkata ini kerana pada masa ini, terdapat pekerja-pekerja asing yang juga melaksanakan kerja pengubahsuaian sebagai majikan dan bukan lagi sebagai pekerja.
“Di sinilah peranan KPKT untuk mewajibkan di peringkat PBT supaya segala kerja pengubahsuaian dilakukan oleh kontraktor berdaftar dengan CIDB dan mereka yang layak bukan lagi boleh (membenarkan) pekerja-pekerja asing (melakukan pengubahsuaian).
“Sekarang ini pun (pekerja asing) dapat membuat kerja-kerja pengubahsuaian sebagai majikan, dulu mereka sebagai pekerja tapi sekarang ini mereka juga merupakan majikan yang membuat pengubahsuaian,” katanya.
Pada majlis sama, Fadillah turut menyampaikan Anugerah Kontraktor Muda Cemerlang kepada enam kontraktor dalam persatuan itu. -TVS