KOTA SAMARAHAN, 5 September: Projek pembinaan Jambatan Sungai Sarawak di Sejingkat yang menelan kos kira-kira RM365 juta dijangka siap pada suku pertama menjelang tahun 2026, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Sarawak mendedahkan setakat ini, pembinaan jambatan tersebut telah mencapai kemajuan sebanyak 21.86 peratus walaupun mengalami sedikit kelewatan.
“Sepatutnya, tarikh penyiapan yang dijangka bagi jambatan ini adalah pada 25 Jun 2025. Namun begitu, kami telah menggesa pihak kontraktor untuk mempercepatkan pembinaan jambatan dan memastikan bahan binaan sentiasa mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak pembinaan jambatan berkenaan di sini, hari ini.
Katanya lagi, kementerian beliau telah menetapkan peraturan baharu di mana pihak kontraktor mesti memastikan kemajuan ketara apabila memulakan projek pembinaan baharu.
“Di bawah peraturan ini, pihak kontraktor perlu berusaha dalam memastikan perjalanan pembinaan projek berjalan lancar dalam tempoh 30 hari pertama selepas mengambil alih tapak projek.
“Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh mengakibatkan penamatan kontrak. Perkara ini bertujuan untuk memastikan penyiapan projek tepat pada masanya.
“Peraturan ini juga sangat penting supaya dapat diberi tempoh yang pendek bagi jabatan menilai komitmen dan keupayaan kontraktor,” katanya.
Pada masa sama, Uggah juga mengungkapkan kepuasan bahawa kebanyakan kontraktor mematuhi peraturan tersebut.
“Saya juga diberitahu oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa hampir semua kontraktor mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Saya juga sempat berjumpa dengan salah seorang kontraktor di mana mereka ditawarkan sub kontrak, tetapi ditolak oleh beliau untuk mengelak risiko penamatan kontrak jika tiada kemajuan dibuat dalam tempoh sebulan yang ditetapkan,” ujarnya lagi.
Uggah juga turut menegaskan perlunya pemantauan yang ketat untuk mengelakkan kelewatan projek, menyatakan bahawa penyiapan projek yang tepat pada masanya adalah penting untuk memenuhi harapan orang awam dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Untuk rekod, Jambatan Sungai Sarawak di Sejingkat sepanjang 1.28 kilometer (km) merupakan jajaran baharu Lebuhraya Samarahan-Kuching mula dibina pada tahun 2021.
Sebelum ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan projek tersebut merupakan satu daripada 14 jambatan yang akan melengkapkan jaringan jalan pesisir termasuk rangkaian Jalan Utama Kedua. – TVS