Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan sumbangan kepada 100 orang terdiri daripada golongan Asnaf dan Orang Kurang Upaya (OKU) pada Majlis Santapan Bersama Masyarakat Lahad Datu di Dewan Perdana malam ini. Foto: Bernama

Kembara Kenali Borneo serlah keperibadian kasih, prihatin Agong terhadap rakyat – Fadillah

ByBernama

PETALING JAYA, 4 Sept: Jelajah Kembara Kenali Borneo menyerlahkan lagi keperibadian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sememangnya amat kasih serta prihatin terhadap rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sikap Seri Paduka berdua yang begitu selesa menyantuni rakyat jelata selama ini dibalas dengan kehadiran begitu ramai penduduk sehingga sanggup beratur di sepanjang jalan bagi menyambut ketibaan Al-Sultan Abdullah dan Tuanku Azizah.

“Baginda berdua cukup terharu dengan sambutan luar biasa oleh rakyat sehingga Tuanku Permaisuri mengalir air mata melihat kehadiran yang begitu ramai.

“Malah baginda berdua juga tekun menyantuni rakyat yang ingin bertemu dan bersalaman di sepanjang laluan sehingga perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel penginapan yang biasanya memakan masa kurang 30 minit berlanjutan lebih lima jam,” katanya.

Bercakap kepada pemberita sejurus tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini, Fadillah berkata Al-Sultan Abdullah turut menggunakan kesempatan itu untuk mencatat luahan dan harapan rakyat yang kebanyakan menjurus kepada kemudahan infrastruktur seperti keadaan jalan raya yang perlu diperbaiki, masalah bekalan air serta banjir.

Beliau berkata Al-Sultan Abdullah telah berkenan menyampaikan luahan rakyat itu kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan yakin isu yang dibangkitkan akan ditangani segera oleh kerajaan negeri.

“Saya yakin luahan rakyat ini juga akan sampai kepada pengetahuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pastinya akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri selepas kembara ini berakhir,” katanya.

Fadillah, yang turut serta dalam sambutan keberangkatan tiba baginda berdua di Tawau hari ini sebelum memulakan Kembara Kenali Borneo, berkata beliau yakin Kerajaan Negeri Sarawak juga telah menyediakan program dan sambutan luar biasa bagi meraikan ketibaan pasangan diraja berkenaan di negeri itu selepas kembara di Sabah berakhir.

Katanya rakyat Sarawak sudah tidak sabar untuk bertemu dengan baginda berdua dan beliau yakin kehadiran Al-Sultan Abdullah dan Tuanku Azizah akan diberi sambutan luar biasa sebagaimana di Sabah.

Kembara Kenali Borneo bagi merealisasikan impian Seri Paduka menelusuri Sabah dan Sarawak, yang bermula hari ini, dijadual berakhir di Teluk Melano, Kuching, Sarawak pada 13 Sept. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan