KUCHING, 4 Sept: Rundingan Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan penurunan hak autonomi kesihatan kepada Kerajaan Sarawak perlu disegerakan, kata Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Menurut beliau Kerajaan Sarawak akan sedaya upaya untuk mengembalikan hak tersebut kepada negeri ini serta telah pun membentangkan beberapa perkara di bawah autonomi kesihatan kepada Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melibatkan tiga prinsip umum namun sehingga kini belum ada kata putus.
“Pertama, kesihatan awam adalah tanggungjawab kerajaan pusat dan kita mahu bantu mereka disebabkan polisi sedia ada adalah berdasarkan populasi dan tidak sesuai diguna pakai di negeri ini kurang populasi dan keadaan geografi sangat luas.
“Oleh sebab itu, ada bandar yang tidak memiliki kemudahan kesihatan mencukupi.
“Kami mahu diberikan kuasa kami segi perancangan, membina, menyelenggara hospital, kemudahan dan peralatan sekaligus ingin menambah kuasa pengawalseliaan dan kuasa eksekutif sumber manusia,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian ROSA di Hospital Pakar KPJ Kuching, hari ini.
Beliau menambah menerusi hak keistimewaan itu, Sarawak akan mempunyai kuasa untuk menggaji pegawai perubatan bagi pihak Kerajaan Persekutuan, pada masa yang sama dapat menangani isu pekerja penjagaan kesihatan yang enggan melaporkan tugas di Sarawak dengan kuasa eksekutif.
“Pernah berlaku sebelum ini di mana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin membantu kita dengan menempatkan 400 pegawai kesihatan di Sarawak, namun 200 daripadanya menolak untuk berkhidmat di sini,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, Kerajaan Sarawak juga bercadang untuk mewujudkan pelan hala tuju yang komprehensif dalam tempoh kira-kira 10 tahun untuk menyediakan pihak berkepentingan dan vendor tempatan bagi mengambil alih perkhidmatan penjagaan kesihatan di negeri ini jika Kerajaan Persekutuan bersetuju memberikan autonomi penuh.
Kerja-kerja besar telah pun dijalankan di bawah rangka kerja perundangan untuk Sarawak diberikan autonomi penuh, dengan kredit diberikan kepada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang sebelum ini pernah menyandang jawatan Menteri Undang-Undang dan Peguam Negeri Dato Sri JC Fong. – TVS