SARIKEI, 4 Sept: Kerajaan Sarawak melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) membina sebuah padang bola sepak baharu bagi menampung keperluan sukan dan riadah penduduk Kampung Selalang di sini.
Selain padang, kawasan itu juga akan dilengkapi dengan kemudahan lain termasuk sebuah pentas terbuka bagi memudahkan penduduk menjalankan pelbagai aktiviti dan program yang berkaitan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek yang sedang rancak dilaksanakan itu bernilai RM300,000.
“Projek ini terbahagi kepada dua fasa iaitu pertama membangunkan padang bola manakala kedua pula pembinaan pentas terbuka.
“Pelaksanaannya akan dilakukan dalam masa yang terdekat,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan bagi melihat perkembangan terkini projek berkenaan, semalam.
Beliau berkata, penyediaan kemudahan sukan itu merupakan sebahagian daripada projek RTP yang disedang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang.
Setakat ini katanya, kesemua projek berjalan lancar dan berharap, dapat disiapkan mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan.
“Saya berharap kerjasama semua pihak supaya pelaksanaan projek ini berjalan dengan sempurna seterusnya memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya. -TVS