BUKIT MERTAJAM, 4 Sept: Polis mengesan seorang lelaki yang didakwa menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita di tempat awam di Alma di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Tan Cheng San berkata, kejadian itu tular selepas video berdurasi 24 saat yang memaparkan kelakuan tidak senonoh tersebut dimuat naik ke laman sosial Twitter.
Ujarnya, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9 pagi di kawasan tempat letak kereta berdekatan sebuah restoran pizza.
“Suspek lelaki yang tidak dapat dikenal pasti bangsa itu menaiki motosikal jenis Yamah LC 135 berwarna merah dengan nombor pendaftaran palsu.
“Dia menghampiri pemandu kereta seorang wanita warga tempatan dengan membuka zip seluar dan menunjukkan kemaluan ke arah pengadu sebelum beredar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Cheng San, ekoran kejadian itu, mangsa kemudiannya telah tampil membuat laporan di Balai Polis Bukit Mertajam di sini.
“Polis mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat kejadian kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Yusrashidi Yussof di talian 017-4336 334 bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya lagi.
Sementara itu, video tersebut memaparkan seorang lelaki menyelak baju berwarna kelabu yang dipakainya sambil melondehkan seluar berdekatan sebuah kereta.
Video berkenaam dipercayai dirakam seorang individu dari dalam keretanya. – TVS