JAKARTA, 3 Sept: Indonesia kini berdepan dengan bencana kebakaran hutan dan ladang yang terus berlaku di beberapa wilayah.
Musim kemarau yang berterusan menyebabkan kebakaran ladang terus berlaku di wilayah Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan, Jawa Barat, dan Jawa Timur.
Kebakaran hutan juga berlaku di kawasan berbukit dengan semak belukar dan sabana gunung di Jawa iaitu, Gunung Ceremai, Gunung Arjuno, Gunung Sumbing, dan Gunung Bromo yang sehingga kini pasukan pemadam kebakaran masih berusaha untuk menangani kebakaran tersebut walaupun api terus merebak.
Menurut jurucakap Badan Pengurusan Bencana Negara (BNPB), pihaknya dan agensi terbabit kini giat menangani kebakaran itu.
“Sukar mengawal kebakaran kerana angin kencang dan bertukar arah, apatah lagi berada di kawasan tinggi menyebabkan api terus merebak,” katanya.
Pihaknya memadamkannya dengan mengerahkan helikopter pengebom air dari udara dan secara manual melalui darat.
BNPB juga melaporkan kejadian kebakaran yang berbeza ketika Kalimantan Barat menghadapi cabaran besar setakat ini, dengan kebakaran hutan dan pertanian melibatkan kawasan seluas kira-kira 5,700 hektar.
Sementara kebakaran seluas 1,978 hektar di Kalimantan Selatan telah dapat dikawal, kebakaran hutan dan pertanian berterusan di Kalimantan Tengah, di mana 63 titik panas telah dikenal pasti di tujuh daerah.
Usaha memadam kebakaran terus dijalankan oleh pasukan untuk menangani titik panas yang masih ada, manakala operasi teknologi pengubahsuaian cuaca (TMC) juga telah dilancarkan dan usaha pembenihan awan telah dimulakan. -TVS