SIBU, 2 Sept: Projek menaik taraf jalan raya berkembar dari Sibu Jaya ke Jalan Kong Yit Khim di sini dijangka akan siap pada Januari 2024.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Aidel Lariwoo berkata jalan sepanjang 6.75 kilometer itu melibatkan kos berjumlah RM95.65 juta.
Menurutnya setelah ia siap kelak, jalan tersebut bakal mengurangkan jarak perjalanan dari Sibu Jaya ke Pusat Bandar Sibu kepada 20 minit selain mengurangkan kesesakan semasa waktu puncak.
“Setakat hari ini kemajuan mencapai 77 peratus dan saya gembira mengetahui bahawa projek ini mengikut jadual,” katanya kepada pemberita semasa lawatan beliau ke tapak projek bagi melihat perkembangan projek tersebut pada Sabtu.
Jelas Aidel lagi, selain dilengkapi dengan lampu jalan, jalan tersebut dibina mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) R5 yang lebih lebar dari standard biasa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya menjelaskan bahawa projek tersebut mungkin mengalami sedikit kelewatan ekoran beberapa masalah kecil.
“Kontraktor menghadapi sedikit masalah berdekatan dengan kawasan Sibu Jaya yang mereka panggil Seksyen 6.
“Terdapat penempatan yang dibina agak berlebihan yang mana tidak seperti dalam perancangan kita,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu berharap agar pihak kontraktor menyelesaikan pekara tersebut dengan baik dan mampu menyiapkan projek mengikut jadual yang telah ditetapkan. – TVS