Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tindakan yang diambil terhadap beberapa saluran berita bukan untuk menyekat kebebasan media tetapi bagi memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab, tanpa menyebarkan fitnah atau maklumat yang kurang tepat. Foto: MCMC

MCMC tegakkan integriti maklumat di bawah AKM 1998

ByBernama

KUALA LUMPUR, 2 Sept: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tindakan yang diambil terhadap beberapa saluran berita bukan untuk menyekat kebebasan media tetapi bagi memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab, tanpa menyebarkan fitnah atau maklumat yang kurang tepat.

MCMC dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, sebagai badan kawal selia untuk industri komunikasi dan multimedia di Malaysia, suruhanjaya itu bertindak di bawah peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

“Satu daripada Matlamat Dasar Kebangsaan MCMC ialah untuk memberikan perlindungan kepada rakyat Malaysia daripada kandungan dalam talian yang memudaratkan termasuk maklumat kurang tepat dan ucapan berbaur kebencian serta melindungi integriti Raja Berpelembagaan dan institusi demokrasi dengan pernghormatan daripada sebarang percubaan untuk mencetuskan kebencian atau penghinaan,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan terbuka oleh Reporters Without Borders (RSF) bertajuk “RSF denounces arbitrary suspension of news websites critical of the government” semalam.

Menurut MCMC satu daripada tanggungjawab utama suruhanjaya itu ialah untuk mencegah penyalahgunaan platform dalam talian untuk melakukan kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

“Dengan peningkatan penyebaran maklumat dalam talian, terdapat peningkatan dalam pelaporan yang tidak bertanggungjawab dan tidak tepat. Beberapa saluran berita didapati dengan sengaja menyebarkan maklumat mengelirukan ataupun menerbitkan kandungan yang tidak tepat, yang boleh mengancam keharmonian masyarakat.

“Untuk menangani isu-isu ini, MCMC mempunyai autoriti dan kewajipan untuk mengambil tindakan kawal selia terhadap penyebaran maklumat palsu, kandungan jelik dan mengancam,” menurut MCMC.

Menurut MCMC, pihaknya terbuka untuk berdialog dan sering mengadakan sesi libat urus dengan editor kanan dan wartawan untuk menangani kebimbangan serta isu berkaitan kebebasan bersuara selain berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak media bagi memerangi peningkatan maklumat kurang tepat dan palsu yang berniat jahat. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan