KUCHING, 1 September: Kerajaan Sarawak terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana syarikat minyak dan gas dari luar yang berminat untuk di negeri ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau setakat ini Sarawak bekerjasama dengan Petronas dan Shell bagi membangunkan industri minyak dan gas di rantau ini.
“Jadi, kita akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang melabur di Sarawak, termasuk Shell yang memang sudah lama berada di negeri ini.
“Shell akan terus melabur di perairan Sabah dan Sarawak dan mereka telah mengumumkan dalam kenyataan media baru-baru ini berhubung komited mereka terhadap industri minyak dan gas di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PBB Sarawak di ibu pejabat PBB, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan Shell menyatakan hasrat untuk meneruskan pelaburannya dengan Sarawak susulan penggunaan teknologi baharu dalam industri minyak dan gas, di sini dan pada masa sama ia tidak memberi kesan buruk kepada alam sekitar.
“Jadi, kita menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui di pelantar minyak sama ada tenaga solar ataupun tenaga angin. Oleh itu, ia tidak akan mencemarkan alam sekitar melalui proses tersebut,” katanya.
Menurut Abang Johari, Sarawak telah lama mengadakan kerjasama dengan Petronas sebagai syarikat Malaysia dan juga Shell yang telah memainkan peranan dalam industri minyak dan gas di negeri ini sejak tahun 1910.
Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz menyatakan untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan sumber minyak dan gas. -TVS