Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Hong Kong bersiap sedia untuk ketibaan taufan besar Saola hari ini apabila pihak berkuasa menaikkan isyarat angin kencang menyebabkan kebanyakan perniagaan, sekolah dan bursa saham ditutup. Foto: Reuters.

Taufan Saola: Hong Kong bersiap sedia

ByReuters

HONG KONG, 1 Sept: Hong Kong bersiap sedia untuk ketibaan taufan besar Saola hari ini apabila pihak berkuasa menaikkan isyarat angin kencang menyebabkan kebanyakan perniagaan, sekolah dan bursa saham ditutup.

Taufan Saola yang membawa angin kencang berkelajuan lebih 200 kilometer sejam menuju ke arah pantai timur Guangdong iaitu wilayah jiran di tanah besar China, sekali gus mengancam Hong Kong serta hab pembuatan utama di wilayah tersebut.

Berdasarkan ramalan, ia boleh muncul antara lima taufan paling kuat melanda Guangdong sejak 1949.

Saola dijangka menyusur dalam jarak 100km dari Hong Kong pada malam Jumaat dan pagi Sabtu, menyebabkan keadaan cuaca merosot dengan cepat, kata pemerhati cuaca di bandar itu.

Menurut balai cerap itu, ia akan mempertimbangkan keperluan untuk mengeluarkan isyarat amaran siklon yang lebih tinggi pada waktu siang.

Hong Kong mempunyai lima kedudukan untuk taufan, 1, 3, 8, 9 dan 10, yang merupakan isyarat taufan terkuat.

Semua sekolah di Hong Kong akan ditutup hari ini walaupun merupakan hari pertama penggal bagi kebanyakan sekolah.

Orang ramai berpusu-pusu di pasar makanan segar di pusat bandar daerah Wan Chai pada petang Khamis dengan banyak sayur-sayuran sudah habis dijual.

Pasar raya kelihatan dipenuhi orang ramai yang bersiap sedia sebelum ribut melanda.

Balai Cerap Hong Kong berkata ia menjangkakan hujan lebat dan angin kencang manakala paras air di bandar itu dijangka “meningkat dengan ketara” sehingga Sabtu, dengan potensi banjir serius.

Syarikat penerbangan utama bandar itu Cathay Pacific berkata semua penerbangan masuk dan keluar dari Hong Kong antara 2 petang waktu tempatan pada hari ini sehingga 10 pagi esok telah dibatalkan.

Kelewatan dan pembatalan penerbangan selanjutnya mungkin diperlukan berdasarkan laluan taufan pada pagi esok.

Menurut Biro Cuaca Pusat Taiwan, taufan kedua, Haikui, sedang menghampiri Taiwan dan dijangka mendarat di bahagian utara pulau itu pada Ahad sebelum menuju ke arah bandar Fuzhou di timur China. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan