GEORGE TOWN, 31 Ogos: Kegembiraan seorang pengunjung bermandi-manda sempena cuti umum hari ini bertukar tragedi apabila lemas di Pantai Miami, Batu Ferringhi di sini.
Lelaki berusia 43 tahun itu didapati meninggal dunia di tempat kejadian sebaik diselamatkan oleh orang awam yang membawanya ke darat.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Penguasa Bomba Kanan II Ahmad Rezki Faris Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.28 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal bergegas ke lokasi.
“Apabila bomba tiba, mangsa didapati telah lemas di pantai dan cuba diberi rawatan awal selepas diselamatkan orang awam.
“Namun mangsa tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya kepada pemberita hari ini.
Ahmad Rezki Faris berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa yang datang dari Kedah cuba menyelamatkan anak lelakinya berusia 13 tahun yang hampir lemas.
Anak lelaki mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan. -TVS