Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
ASP Shogghirajan Nagendram ketika ditemui TVS di kediamannya di Kuching, baru-baru ini. Foto: Zaim Zharfan. (TVS)

Wira Op Daulat terkenang rakan setugas dibunuh pengganas Sulu

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 31 Ogos: Tragedi berdarah melibatkan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah pada 2013 telah meninggalkan sejarah hitam kepada negara.

Peristiwa itu menyebabkan 10 anggota pasukan keselamatan terkorban dalam usaha mereka mempertahankan kedaulatan negara.

Sedekad berlalu, bagi anggota yang pernah terlibat dalam Op Daulat dan masih menabur bakti kepada negara, mereka berazam untuk terus mempertahankan kedaulatan Malaysia.

Hargai jasa pejuang pertahan kedaulatan negara.

Salah seorang wira Op Daulat, Asisten Superintendan (ASP) Shogghirajan Nagendram ketika ditemui TVS mendedahkan tragedi berdarah di Kampung Tanduo, Lahad Datu itu memberi kesan mendalam terhadap dirinya.

Ini kerana dia melihat permergian rakan setugasnya yang dibunuh dengan kejam oleh musuh.

“Saat paling sukar adalah apabila saya melihat arwah ASP Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin Daud terkorban.

“Selain itu, berita mengenai enam anggota lain telah dibunuh dengan kejam oleh pengganas tidak boleh saya terima kerana dalam peperangan, jika seseorang itu dibunuh, anda (pihak lawan) tidak sepatutnya mengerat mayat.

“Itu tindakan tidak berperikemanusiaan, mereka (pengganas) tidak ada perasaan hormat,” katanya.

Mengimbas kembali peristiwa itu, Shogghirajan memberitahu ketika itu dia merupakan Ketua Platun 7, Kompeni C, Batallion 17, Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Insiden berkenaan masih segar dalam ingatan, sehingga kini saya menjadikannya sebagai azimat dalam menjalankan tugas,” ujarnya.

Beliau yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sebagai Ketua Unit Dron PDRM Kontinjen Sarawak berjanji akan berkhidmat dengan bersungguh-sungguh walaupun ditempatkan di mana-mana negeri.

“Selagi saya berada dalam Malaysia, saya berjanji akan tetap melindungi negara kita daripada bahaya, itu sumpah yang saya lafazkan semasa diberi tauliah sebagai anggota polis dahulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, bersempena dengan Hari Kebangsaan 2023 yang disambut pada hari ini, Shogghirajan berharap generasi masa kini akan mengambil iktibar tentang peristiwa berdarah di Lahad Datu dan bersedia untuk menggantikan dirinya dan anggota keselamatan lain pada masa depan untuk menjaga negara.

“Saya berharap generasi muda akan meneruskan legasi kita (anggota keselamatan). Jujur saya sedih bila melihat lagu Negaraku pun (segelintir) generasi masa kini tidak hormat.

“Kalau dahulu apabila mendengar lagu Negaraku berkumandang, kami akan berdiri dan menyanyikannya dengan penuh semangat.

“Saya berharap akan timbul kesedaran dalam generasi masa kini,” pintanya.

Anak kelahiran, Sentul, Kuala Lumpur itu merupakan antara watak penting dalam Op Daulat apabila menjadi individu bertanggungjawab menahan salah seorang pemimpin tertinggi pengganas Sulu yang merupakan bekas anggota tentera Filipina.

Hasil daripada sumbangannya itu, beliau telah dianugerahkan Pingat Op Daulat oleh Ketua Polis Negara (KPN) Ke-10, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan