Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama hadirin mengibarkan Jalur Gemilang pada majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama.

PM ajak rakyat gilap Malaysia jadi negara hebat

ByBernama

PUTRAJAYA, 30 Ogos: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat  Hari Kebangsaan 2023 yang antara lain menekankan pentingnya perpaduan dalam mempertahankan kemerdekaan negara bagi menggilap Malaysia sebagai sebuah negara hebat.

Beliau berkata hasrat itu boleh dicapai kerana Malaysia mempunyai limpahan golongan pekerja yang boleh diangkat sebagai pakar teknologi dan profesional yang mampu bersaing dengan mana-mana negara di dunia.

“Antara cita dan harapan, negara harus bersatu dan merangka Ekonomi MADANI yang mampan serta jaminan keadilan untuk semua rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Mari kita manfaat waktu yang ada di sisa-sisa hidup kita ini untuk berbuat bakti kepada diri, keluarga dan masyarakat kita dan yakinlah negara ini bukan biasa. Negara ini punya hasil-mahsul yang hebat melimpah ruah,” kata Anwar dalam amanat pertama Hari Kebangsaan beliau di hadapan lebih 7,000 hadirin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri-menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil penduduk dan pelajar sekolah menghadiri majlis amanat yang diadakan sempena Hari Kebangsaan 2023 yang akan disambut esok.

Majlis itu juga disiarkan secara langsung di televisyen tempatan dan media sosial

Anwar berkata antara syarat untuk mencapai aspirasi itu adalah dengan memastikan “merdeka rakyat” iaitu sebuah masyarakat yang merdeka minda dan jiwanya serta bebas daripada pandangan pemikiran penjajah dan pemikiran jumud.

Perdana Menteri berkata untuk memastikan Malaysia maju, semua peringkat rakyat di negara ini perlu berjiwa merdeka dengan menolak menjadi perkakas dan dieksploitasi golongan elit untuk mengaut  keuntungan peribadi yang merugikan negara.

Selain itu, penyertaan dan perpaduan setiap kaum adalah penting dalam memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang hebat pada abad ini selepas prestasi yang mendatar sejak 20 tahun lepas.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan memberi jaminan akan mempertahankan hak setiap rakyat di negara ini tanpa ada yang dipinggirkan namun perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan seperti hak dan keistimewaan Bumiputera serta Islam sebagai agama Persekutuan akan terus dipertahankan.

“Kita kena pertahan semangat bahawa negara ini milik semua rakyat. Kesatuan dan perpaduan ini (perlu) dipupuk untuk dijamin masa depannya mulai sekarang,” kata beliau. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan