SUNGAI PETANI, 30 Ogos: Sepasang suami isteri yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan polis bersama dadah jenis ganja bernilai kira-kira RM160,000 dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Bandar Seri Astana di sini kelmarin.
Pasangan berusia 32 tahun itu ditahan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Kedua-dua suspek dikatakan ditahan sejurus pulang mengambil bekalan dadah di sempadan negara melalui Kelantan bersama anak perempuan mereka yang berusia setahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Zaidy Che Hassan berkata, siasatan polis mendapati pasangan itu bertindak sebagai ‘transporter’ dadah sejak April lalu yang diperoleh dari negara jiran.
“Mereka dipercayai mengambil bekalan dadah di sempadan dan mengedar mengikut arahan seorang pembekal dari Thailand dengan upah RM100 bagi setiap ketulan mampat ganja yang berjaya diseludup.
“Dadah berkenaan dipercayai bagi dipasarkan ke kawasan utara Perak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ujar Zaidy, pihaknya merampas sebanyak 50 ketulan mampat disyaki ganja di dalam but sebuah kereta jenis Honda Jazz dengan nombor pendaftaran Thailand dan satu ketulan lagi di dalam rumah.
“Kereta yang digunakan pasangan itu dipercayai milik pembekal dadah dari negara jiran terbabit.
“Turut dirampas adalah sebuah motosikal jenis Honda RS150 milik suspek yang bekerja kilang tesebut,” katanya lagi.
Ujar beliau, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki yang mempunyai empat rekod jenayah dan dadah positif methamphetamine dan amphetamine, manakala isterinya negatif.
Suspek direman selama seminggu sehingga 3 September depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS