KOTA SAMARAHAN, 30 Ogos: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang meminta umat Islam terutama di negeri ini untuk melengkapkan diri dengan ilmu yang terkandung dalam kitab suci al-Quran.
Katanya, adalah penting bagi seseorang Islam dalam mempelajari ilmu dalam al-Quran sebelum beroleh rezeki dan beramal bagi menggelakkan umat Islam tersasar.
“Ilmu dahulu daripada rezeki. Rezeki dahulu daripada amal. Kita tidak akan dapat rezeki jika tidak ada ilmu. Kita tidak dapat beramal jika kita tidak ada ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Penangguhan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan yang berlangsung di Masjid Al-Muttaqin di sini, malam tadi.
Tambah beliau lagi, seseorang yang memperoleh rezeki tanpa ilmu akan menjadi kufur nikmat manakala orang yang beramal tanpa ilmu akan menjadi sesat.
Seramai 12 peserta, enam qari dan enam qariah dari daerah sekitar Samarahan meliputi Sadong Jaya, Simunjan, Gedong dan Asajaya mengambil bahagian pada majlis yang belangsung bermula pada 28 Ogos itu.
Selain wang tunai berjumlah RM 1,500 bagi johan, RM1,200 bagi naib johan dan RM 1,000 bagi tempat ketiga sumbangan Dato Idris Buang, kesemua pemenang tempat pertama hingga tempat ketiga turut menerima tajaan umrah dari syarikat ZZ Cleaning Services.-TVS