GEORGE TOWN, 29 Ogos: Fenomena air laut berwarna merah di perairan Teluk Bahang dekat sini Ahad lalu yang menyebabkan lebih 15 tan ikan mati disahkan disebabkan oleh sejenis alga.
Pengarah Perikanan Pulau Pinang, Zarina Zainuddin berkata, pihaknya yang melakukan analisis di Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung mendapati alga tersebut jenis bukan toksin iaitu spesis Noctiluca Scintillans.
Ujarnya, alga tersebut bagaimanapun tidak berbahaya kepada manusia.
“Kepadatan sel fitoplankton ini bagaimanapun sangat tinggi iaitu satu hingga lima juta sel per liter yang mengesahkan berlaku ledakan alga di perairan ini.
“Kepadatan sel fitoplankton yang tinggi boleh menyebabkan kematian ikan terutamanya ikan dalam sangkar akibat penurunan oksigen terlarut.
“Alga juga telah meliputi insang dan menyebabkan ikan tidak mendapat oksigen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, penternak ikan dalam sangkar di perairan Teluk Bahang membuat aduan berhubung kejadian ‘air merah’ pada Ahad dan semalam sehingga menyebabkan kematian ikan berterusan di kawasan tersebut.
Ujar beliau, pihaknya menerima laporan berhubung fenomena itu pada sebelah pagi Ahad sebelum pemerhatian di situ mendapati ‘air merah’ sudah tidak kelihatan sekitar 3 petang dipercayai hanyut semula ke tengah laut.
“Penternak menganggarkan hampir 15 tan metrik ikan kerapu, nyok-nyok dan siakap di sangkar telah mati dengan kerugian kira-kira RM15,000.
“Penternak telah cuba menyelamatkan ikan melalui cara menuai hasil segera dan meningkatkan paras oksigen melalui semburan air ke dalam sangkar, tetapi gagal,” katanya lagi.
Untuk rekod, pada 2016, alga Noctiluca Scintillans pernah menyebabkan ledakan sehingga air laut menjadi merah jambu di Kuala Gula, Perak dan menyebabkan ikan dalam sangkar mati. – TVS