SIBU, 29 Ogos: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Rajang berhampiran Esplanade Sibu di Jalan Maju dekat sini, petang tadi.
Difahamkan, mangsa Moses Yong Jia Wan, 22, turut mempunyai masalah mental.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkam kejadian itu pada 5.17 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral tiba di lokasi pada 5.20 petang.
“Abang mangsa yang merupakan saksi kejadian memaklumkan adiknya secara tiba-tiba berlari ke arah sungai dan terus terjun.
“Mangsa dilihat terkapai-kapai sebelum tenggelam namun abangnya tidak berani menyelamatkan adiknya kerana dia tidak pandai berenang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Andy berkata, operasi mencari dan menyelamat dilakukan dengan menggunakan Bot Marine PSC12.
“Anggota bomba memulakan pencarian pada 6.30 petang dengan menggunakan kaedah ‘gripping iron’ di lokasi kejadian.
“Namun usaha pencarian gagal menemui mangsa sehingga operasi ditangguhkan pada 7 malam,” katanya.
Operasi akan disambung semula esok pagi. -TVS