KUCHING, 29 Ogos: Usaha mengesan gejala rasuah bukan hanya tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) semata-mata tetapi turut memerlukan penglibatan penjawat awam, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, sekiranya perkara itu dikesan oleh penjawat awam, ia menjadi tanggungjawab mereka untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.
“Jika gagal mencegah, bermakna kita telah mengkhianati akauntabiliti kita sendiri dan perkara ini akan menghalang kewujudkan persekitaran yang telus, beretika dan integriti,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh sempena Hari Tadbir Urus Korporat Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) 2023, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya dan Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Mohd. Naroden Majais dan Pengurus Besar STIDC, Zainal Abidin Abdullah.
Sementara itu Awang Tengah turut menggesa kesemua anak syarikat STIDC untuk mempunyai peraturan yang komprehensif bagi memperkasakan tadbir urus yang baik dalam syarikat masing-masing.
“Dengan prestasi anak syarikat yang baik, membolehkan mereka membayar dividen kepada STIDC dan perkara ini penting dalam usaha kita membantu visi negeri mencapai sasaran nilai eksport kayu dan produk kayu RM8 bilion,” katanya.
Sementara itu beliau menambah, masalah birokrasi yang wujud dalam sesebuah organisasi boleh menghalang kecekapan untuk mencapai tadbir urus korporat. -TVS