MIRI, 29 Ogos: Status sebagai ibu tunggal tidak menghalang Dayang Ferazlyn Abang Sahari atau lebih dikenali sebagai Fera menjulang kejayaan dalam kejohanan memanah tradisional di peringkat antarabangsa.
Fera telah menyumbang dua emas dan satu perak dengan kejayaan keseluruhan atlet Malaysia sebanyak enam emas, dua perak dan satu gangsa, lantas membawa Malaysia sebagai juara keseluruhan di dalam Kejohanan Memanah Tradisional Antarabangsa di Kazakhstan mulai 3 hingga 5 Ogos 2023.
Menurut Fera, asalnya beliau hanya melakukan aktiviti memanah moden sebagai hobi sebelum beralih kepada memanah tradisional menerusi dorongan bapanya.
“Ayah saya ada melihat orang bermain dengan panah kayu di Singapura. Ayah saya kenalkan jenis panah tersebut sehingga saya berasa tertarik. Kita cari di Miri, terjumpa dengan Kelab Al-Muaqabbah. Di situ bermulanya kisah saya terlibat dengan memanah tradisional.
“Saya tukar kepada memanah tradisional kerana ia lebih mencabar dan menarik,” katanya kepada TVS ketika ditemui hari ini.
Bermula sebagai hobi, bertukar kepada ingin menguji kemahiran diri sendiri apabila Fera melihat kekurangan atlet wanita memanah bertanding dari Miri dan ingin memberi sokongan kepada sukan memanah.
Sebelum pertandingan, Fera akan berlatih selama dua sehingga tiga bulan berdasarkan format memanah negara yang disertai bagi membiasakan diri, selain mengkaji cuaca negara tersebut memandangkan cuaca juga memberi kesan terhadap skil dan peralatan memanah.
Tidak dilupakan juga latihan ketahanan dengan mendedahkan diri dengan cuaca panas sewaktu latihan serta berjoging dan menjaga diet makanan untuk mengekalkan stamina dan kesihatan.
Fera tidak menafikan terdapat kesukaran membahagikan masa sebagai seorang ibu tunggal kepada anak autisme dan atlet memanah, namun dia bersyukur dengan bantuan dan sokongan bapanya dalam minatnya ini.
“Saya merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak. Salah seorang anak saya ada autisme. Sedikit sukar untuk saya membahagikan masa tetapi syukur ayah saya banyak membantu. Ayah adalah tulang belakang saya yang sentiasa sokong saya untuk memanah ini. Saya berlatih semasa anak-anak saya bersekolah pada sebelah pagi. Saya berlatih di Masjid Darul Ehsan, hanya lima minit dekat dengan sekolah mereka,” ujarnya lagi.
Tambah Fera, beliau juga mendapat sokongan daripada Datuk Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang, bersama Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) berdekatan untuk menyediakan padang khas memanah untuk orang ramai di kawasan Piasau Utara dan setakat ini masih dalam proses perbincangan.
Sebagai jurulatih, Fera berharap untuk melihat lebih ramai atlet wanita dan kanak-kanak untuk menceburi sukan memanah tradisional memandangkan sukan ini mempunyai banyak potensi untuk dikembangkan.
Fera juga menasihatkan kepada mana-mana pemanah baharu yang ingin menceburi memanah tradisional untuk mencari jurulatih yang sesuai atau menyertai kelab dan persatuan memanah yang ada di kawasan masing-masing.
“Bagi pemanah baharu, nasihat saya cari kelab atau jurulatih yang betul dan berilmu yang dapat mengajar teknik memanah, itu penting. Hal ini kerana panah tradisional boleh dibeli di mana-mana seperti panah moden tetapi tidak boleh membuka panah tersebut di rumah dan terus memanah. Di Malaysia bagi setiap negeri ada kelab dan persatuan. Mereka boleh ajar teknik memanah daripada asas sehingga tahap yang lebih tinggi lagi,” katanya.
Untuk rekod, tahun lepas, atlet memanah tradisional dari Miri ini telah memperoleh satu gangsa di dalam Kejohanan Piala Conquest Fetih Kupasi kali ke-10 2022 di Istanbul, Turkey pada 27 sehingga 29 Mei, dan satu gangsa dan satu perak di Sukan Solidariti Islam (ISG) 2022 di Konya, Turkey pada 9 hingga 18 Ogos. – TVS