Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Petico, peruncit makanan haiwan peliharaan yang paling pesat berkembang di Malaysia. Foto: FB Petico.my

Petico, peruncit makanan haiwan Malaysia ambil alih aset Perromart Singapura

ByBernama

SINGAPURA, 28 Ogos: Petico, salah satu peruncit makanan haiwan peliharaan yang paling pesat berkembang di Malaysia, telah memperoleh aset peruncit makanan haiwan Singapura yang gagal, iaitu Perromart bagi membuka jalan pengembangannya merentasi Tambak dan negara-negara lain di Asia Tenggara.

Kemasukan Petico ke dalam pasaran makanan haiwan peliharaan yang menguntungkan di sini adalah sebahagian daripada rancangan pertumbuhan strategiknya untuk mengembangkan jejak serantaunya dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi produk-produk haiwan peliharaan berkualiti tinggi.

“Kami benar-benar gembira kerana dapat mengambil alih beberapa aset Perromart, yang memiliki jenama yang kukuh walaupun berada dalam perniagaan selama lapan tahun sahaja,” kata Pengasas Bersama Petico, Daniel Choy dalam satu kenyataan hari ini.

Choy berkata pengambilalihan strategik itu akan membolehkannya mempercepatkan rancangan pengembangan di Asia Tenggara.

“Kami juga akan memperluaskan penawaran makanan haiwan peliharaan yang berkualiti tinggi dan berkhasiat kepada pemilik haiwan di Singapura, termasuk beberapa jenama baharu yang menarik yang kami bawa ke Asia Tenggara,” katanya.

Petico diasaskan bersama oleh Choy dan tiga rakan lain – Ashwin Kumar, Ben Fong dan Esther Loo pada 2019.

Choy berasal daripada keluarga yang memiliki jenama pengeluar makanan haiwan peliharaan terbesar di Malaysia – Pet World.

Ia menghasilkan jenama-jenama yang dikenali seperti ProDiet (untuk kucing), ProBalance (untuk anjing) dan Delizios (daging putih untuk haiwan peliharaan).

“Saya dan rakan kongsi perniagaan memanjakan pemilik haiwan peliharaan, dan kami komited untuk memastikan ‘rakan berbulu’ kami kekal sihat dan berkhasiat dengan makanan selamat yang tidak mengandungi bahan kimia berlebihan dan jumlah kandungan yang tinggi seperti gandum, jagung dan soya,” kata Choy.

Pengambilalihan oleh Petico adalah untuk aset-aset Perromart, merangkumi inventori, data pelanggan, nama domain, peralatan dan kelengkapan gudang, dan hak harta intelek (IP) untuk jenama dalaman Perromart di Singapura dan Malaysia.

Ia tidak termasuk liabiliti Perromart seperti pinjaman bank dan pemiutang perdagangan.

Perromart, sebuah syarikat makanan haiwan peliharaan yang dimiliki oleh 25 Holdings, menjadi muflis dan diletakkan dalam kuasa penerima pada Mac 2023.

Choy berkata walaupun pengambilalihannya tidak termasuk liabiliti Perromart, namun sebagai tanda muhibah, ia menawarkan baucar kepada pelanggan-pelanggan Perromart yang terjejas oleh isu-isu penghantaran.

Baucar kredit itu menawarkan potongan S$10 untuk pesanan yang melebihi harga S$100.

Petico mengekalkan nama Perromart untuk masa hadapan dan mungkin mempertimbangkan bagi membuka kedai jika berpeluang.

Industri makanan haiwan peliharaan di Singapura bernilai US$130.90 juta pada 2022 dan dijangka berkembang lebih 5.0 peratus setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang, menurut Statista, iaitu syarikat Jerman yang menyediakan data pengguna dan pasaran. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan