Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Foto Bernama.

YDPA dan Raja Permaisuri Agong dijadual berangkat tiba di Sarawak menerusi ICQ Merapok

KUCHING, 28 Ogos: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka berangkat tiba di Sarawak pada 7 September depan sempena Kembara Kenali Borneo.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketibaan baginda berdua ke Bumi Kenyalang dijadual menerusi pintu masuk Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Merapok.

Setelah itu kata Abdul Karim, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah bersama rombongan akan ke Bandar Lawas dan dijadual melawat Tebingan Lawas sebelum meneruskan perjalanan ke Brunei.

“Rombongan Seri Paduka dijangka berada di negara jiran itu semalam tiga hari bermula 7 September,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Abdul Karim memberitahu, sejurus selesai lawatan di Brunei, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong akan berangkat semula ke Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Rahman Hamzah sempena sidang media Program Kembara Kenali Borneo di pejabatnya hari ini. Foto:TVS

“Rombongan akan melalui beberapa bandar utama di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak iaitu Limbang, Miri, Bintulu, Sibu, Sri Aman dan Kuching.

“Kembara akan berakhir di KM Zero Telok Melano pada 13 September 2023,” katanya.

Sementara itu Abdul Karim berkata, lokasi lain yang akan dilawati sempena acara di Sarawak ialah Miri Handicraft Centre, Coco Cabana Miri, Kampung Pangkalan Lutong, Pantai Bungai Bekenu, Kampung Penan Muslim Batu 10, Rumah Panjang Raymond Plen, Sungai Gelam, Sebauh, Tokong Yu Lung Tian En Si di Sibu, Kampung Bandung Sibu, Pasar Central Sibu, Masjid Bahagian Sri Aman dan Fort Alice Sri Aman.

“Seri Paduka juga pernah bertitah mengenai hasrat untuk memandu merentasi LPB bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak,” katanya.

Abdul Karim menambah, program itu juga akan membuka peluang kepada Sabah dan Sarawak memaparkan keunikan budaya dan etnik dengan lebih dekat kepada baginda berdua.

https://staging.tvsarawak.my/2023/08/25/agong-dan-raja-permaisuri-dijadual-sertai-kembara-kenali-borneo-bermula-3-september/

Kata beliau, Kembara Kenali Borneo itu bakal diselitkan dengan pelbagai program dan lawatan yang bertemakan Journey Of Culture And Nature.

“Saya difahamkan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong amat berminat dengan kebudayaan etnik.

“Sebelum ini baginda berdua pernah bertanya kepada saya mengapa hubungan pelbagai etnik dan rakyat berbilang agama di Sarawak begitu akrab,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan