KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Makanan warisan di Bumi Kenyalang, Laksa Sarawak merupakan antara hidangan yang digemari ramai di Hotel Aloft KL Sentral.
Pengarah Bahagian Jualan dan Pemasaran hotel berkenaan, Joyce Wong berkata, sambutan terhadap hidangan ikonik di Sarawak itu sudah dijangka memandangkan majoriti pengunjung di situ berasal dari negeri itu.
“Aloft merupakan hotel yang berkonsepkan keluarga. Oleh itu apabila kami memperkenalkan menu ini, tetamu yang berasal dari Sarawak atau menetap di Semenanjung Malaysia akan berasa lebih dekat dengan kampung halaman mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW 2023) Sabtu lepas.
Sementara itu Joyce memberitahu, Aloft Kl Sentral yang menjadi hotel rasmi KLFW 2023 pada hari kelimanya juga tidak terkecuali dengan tema kelestarian yang dipilih sempena penganjungan edisi ke-11 acara itu.
Antara yang dilaksanakan ialah polisi no straw untuk tetamu serta mengelakkan pembaziran dalam pertukaran linen di hotel.
“Bertemakan konsep farm to table, pelbagai menu kami selaras untuk menyokong petani tempatan,” tambahnya.
KLFW 2023 yang merupakan acara fesyen tahunan terkenal di Malaysia berlangsung pada 21 hingga 28 Ogos di tujuh lokasi berbeza di sekitar ibu negara. -TVS