LIMBANG, 28 Ogos: Pengorbanan dan komitmen sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Sarawak bersama petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 melayakkan mereka digelar sebagai wira senyap (silent hero).
Pengerusi PBSM Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata, sejak Malaysia berdepan pandemik COVID-19 pada 2019, mereka terus bertugas tanpa mengharapkan sebarang ganjaran biarpun menyedari berisiko terdedah kepada penularan wabak.
Beliau berkata, sukarelawan PBSM tidak pernah kenal erti lelah dan putus asa sehingga peranan mereka memberi impak kepada masyarakat dengan pelbagai usaha murni dan terus berkhidmat kepada masyarakat.
“Sukarelawan ini sebenarnya mempertaruhkan kesihatan mereka dalam hidup untuk mengurangkan penyebaran COVID-19. saya gelar mereka wira senyap kerana tiada siapa yang tahu sebenarnya.
“Kami dalam PBSM mengenali wira ini tetapi seperti biasa kami tidak menggalakkan ahli menjadi wira, tetapi inilah yang saya panggil wira senyap yang menjadikan hidup lebih mudah untuk semua orang semasa pandemik ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Penghargaan Sukarelawan PBSM 2023 di Purnama Hotel malam tadi.
George Chan berkata, sukarelawan PBSM bertugas sepanjang hari ketika pandemik termasuk menyokong usaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).
Ia melibatkan di pelbagai pusat dan aktiviti seperti pusat vaksinasi, pusat penilaian COVID-19, pusat kuarantin pusat ujian swab dan sebagainya.
“Tahun 2020 adalah tahun yang sangat istimewa, tetapi pada 2021 dan 2022, kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana pandemik, dan itulah sebabnya kami tidak dapat melakukan apa-apa yang istimewa dalam sesuatu kerja pada masa itu.
“Tetapi anda boleh yakin PBSM tidak takut krisis dalam tempoh ini beribu-ribu pekerja kami menyertai unit khas kerajaan untuk memerangi wabak COVID-19,” katanya lagi.
Majlis Penghargaan PBSM merupakan acara tahunan menghargai khidmat bakti dan usaha semua sukarelawan yang berkhidmat tanpa mengharapkan ganjaran.
Hadir sama ialah Setiausaha Agung Bulan Sabit Merah Malaysia Ibu Pejabat Kebangsaan, Kuala Lumpur, Hakim Hamzah, Setiausaha Agung Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam, Muhammad Suhaimi Ibrahim, Pengarah Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah, Simon Chin Nyuk Kong, Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan, Datin Christine Mungge dan Pengerusi PBSM Limbang, Chew Sing Liang. -TVS