KOTA SAMARAHAN, 28 Ogos: Projek pembangunan yang berlebihan sehingga meningkatkan jumlah kerja kepada agensi pelaksana juga boleh menyumbang kepada faktor kelewatan projek.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, sesuatu kecepatan kerja yang dilaksanakan bergantung kepada agensi teknikal merangkumi pelbagai aspek.
Melihat kepada perkembangan di Samarahan, katanya, projek pembangunan telah dirancang dan dilaksana dalam tempoh lama.
“Kecepatan kerja – kerja itu dilaksanakan bergantung kepada agensi teknikal, jika kita perhatikan kawasan pembangunan seperti di Samarahan, ia sudah lama dilaksanakan tetapi dari segi kapasiti agensi mereka ada masalah, kurang projek salah, apabila banyak projek pula tidak mampu untuk laksanakan,” katanya.
Mengulas lanjut, di Krian katanya, turut berdepan isu sama, sehingga menimbulkan masalah kepada agensi pelaksana.
Malah sebahagian projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang diluluskan pada 2022 kata Friday, belum siap sepenuhnya.
“Lebih – lebih di Krian, kita di Krian banyak yang projeknya berlebihan, perkara tersebut yang mendatangkan masalah dalam agensi pelaksana.
“Bukan itu sahaja, projek RTP pada tahun 2022 pun banyak yang belum siap separuh, tiba pula pada tahun 2023 ini, satu projek pun belum mula dan ia disebabkan daripada agensi teknikal, itulah yang boleh saya kongsikan,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar rakyat di Krian bersabar menunggu projek pembangunan yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan siap sepenuhnya dalam tempoh yang ditetapkan. -TVS