KUCHING, 27 Ogos: Buat julung kalinya diadakan, Larian Persahabatan Sarawak – China berjaya menarik penyertaan 3,000 peserta termasuk dari China, Singapura, Semenanjung Malaysia dan juga Sarawak.
Acara itu diadakan untuk meraikan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan China.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Michael Tiang menyifatkan ia sebagai acara bersejarah serta menjadi titik pemerkasaan hubungan sedia terjalin kedua – dua negara.
“Malaysia dan China memulakan hubungan diplomatik pada 1974 dan ini kali pertama kita mengadakan acara seperti ini.
“Tujuan penganjurannya juga untuk mempromosikan hubungan persahabatan Sarawak dan China, kita mahu meraikan persahabatan yang terjalin sejak beberapa dekad lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan ‘flag-off’ larian itu yang terbahagi kepada dua kategori di Taman Sahabat, sini hari ini.
Turut hadir, Konsul Jeneral China, Xing Weiping, Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Yusfida Khalid dan Pengerusi Penganjur Bersama, Datuk Wee Kok Hui. -TVS