KUCHING, 26 Ogos:Program BeDigital Bootcamp yang julung kali diadakan di negeri ini menjadi landasan untuk memperkasakan graduan dengan kemahiran digital dan keusahawanan sebagai inisiatif mengatasi permintaan pasaran pekerjaan masa hadapan terutamanya bidang ekonomi digital.
Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas, Datuk Bacho Pilong optimis kem latihan bermula 14 hingga 25 Ogos lalu itu selari dengan hasrat Kerajaan Sarawak dalam mentransformasikan ekonomi Sarawak ke arah ekonomi digital menjelang 2030.
“Jadi di Sarawak, saya percaya bakat-bakat yang menyertai kem latihan ini akan menjadi tempat latihan bakat untuk keperluan bakat di Sarawak. Terdapat banyak permintaan di Sarawak dari segi misalnya kita ada jalinkan MOU dengan TEGAS (Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak) dan saya berharap beberapa bakat daripada kem latihan ini akan menyokong keperluan TEGAS dan keperluan syarikat digital lain di Sarawak.
“Sebagai contoh, mereka yang datang dari kem latihan, seperti yang saya nyatakan awal-awal, adalah tentang meningkatkan keupayaan pekerjaan dalam pasaran kerja. Mereka didedahkan dengan kemahiran digital, bagaimana mereka membangunkan apa yang kita panggil CV digital, bagaimana mereka belajar tentang data dan mempelajari semua kuasa ini dan juga lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada Majlis Penutupan Program BeDigital Bootcamp anjuran Petronas di Kuching pada Jumaat.
Dalam pada itu Bacho percaya semua bakat yang digilap oleh Petronas mampu memberi inspirasi kepada masyarakat secara amnya serta meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam membolehkan mereka menyumbang dengan cara yang lebih dinamik dalam bidang ekonomi digital.
“Saya tidak akan terkejut jika satu hari nanti saya akan melihat mereka di suatu tempat, mungkin di luar negara, dan itu sepatutnya menjadi sebahagian daripada impian kita.
“Sebahagian daripada bakat yang kami kembangkan melalui kem latihan ini akan menjadi pemain global atau memenuhi keperluan dunia. Mereka mungkin berpangkalan (bekerja) di Malaysia dan mampu melakukan sesuatu kerja yang datang dari Amerika Syarikat, negara Eropah dan lain-lain yang saya fikir itu harus menjadi aspirasi kita untuk jangka panjang,” ujarnya.
Pada masa sama, Bacho juga tidak menolak kemungkinan program yang dapat membantu dalam menarik lebih ramai bakat Sarawak kembali ke Sarawak dan menyumbang kepada ekonomi Sarawak.
Sebelum ini, Bacho mendedahkan kem latihan berkenaan telah dianjurkan di Sabah manakala Sarawak bakal menjadi tuan rumah edisi kedua bagi kohort keempat kem latihan berkenaan itu pada tahun depan.
Terdahulu majlis menyaksikan seramai 40 pelajar telah menerima tawaran pekerjaan bersyarat daripada Petronas serta rakan BeDigital Bootcamp iaitu Tata Consultancy Services (TCS), Enfrasys Consulting Sdn Bhd, FPT Software, SEDC Energy, Sarawak Media Group, Sakura Ferroalloys, Schlumberger, LONGi Group, Sarawak Oil Palms Berhad, Bintulu Port Holdings Berhad dan Sarawak Energy Berhad.
Program itu menyaksikan penyertaan mahasiswa dari enam universiti tempatan iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee. – TVS