KUCHING, 25 Ogos: Siol International Mountain Bike Challenge (SIMBC) 2023 edisi Ke-20 bermula esok, 26 dan 27 Ogos bakal mencipta sejarah dengan 200 orang peserta bakal beraksi tahun ini.
Datuk Bandar Kuching Utara, Datu Junaidi Reduan berkata penyertaan tahun ini turut melibatkan peserta dari Thailand, Brunei, Filipina, Singapura, China, India dan termasuk Malaysia.
Menurutnya sejarah bakal tercipta berikutan ia akan menjadi acara berbasikal antarabangsa yang pertama dianjurkan di Kuching dan juga acara berbasikal antarabangsa di Malaysia.
“Selain itu, ia menjadi satu-satunya daripada dua acara ‘mountain bike’ antarabangsa di Malaysia,” katanya ketika berucap di Majlis Hi Tea Bersama Pelumba SIMBC 2023 Edisi ke-20 di Arena DBKU, Bukit Siol di sini, pada Jumaat.
Junaidi menambah, penganjuran pertandingan ini adalah untuk meletakkan acara sukan ‘mountain bike’ sebagai acara terulung di Malaysia sekali gus menjadi platform menyerlahkan bakat baharu dan mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan.
“Objektif penganjuran SIMBC adalah untuk meletakkan acara ini sebagai acara sukan ‘mountain bike’ yang terulung di Malaysia.
“Kedua, ia adalah sebagai platform untuk bakat baharu di Malaysia khususnya komuniti berbasikal Kuching dalam ‘mountain bike’ untuk dipromosikan di arena antarabangsa.
“Ketiga, ia adalah untuk menarik penduduk tempatan, dalam dan luar negara untuk melawat Kuching dengan menyertai acara itu dan keempat, untuk mempromosikan Sarawak dan Bandaraya Kuching sebagai destinasi pelancongan sukan,” ujarnya.
Dua kategori yang dipertandingkan kepada para peserta terlibat ialah ‘Downhill Event’ dan ‘Cross Country Event’ yang bakal berlangsung di Siol MTB Track, Bukit Siol, Petra Jaya Kuching yang merupakan salah satu trek yang terbaik di Malaysia.
Terdahulu, acara ini merupakan anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bersama Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA) bersempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka dan Hari Malaysia.
Turut Hadir Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA), Dato Benjamin Hasbie, Ketua Pegawai Eksekutif Leaves Food Industries Sdn Bhd, Chai Ming Lun, Pengarah SIMBC, Hakeem Hossen Dan penaja bagi SIMBC 2023 seperti Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Trienekens Sdn Bhd, Penview Hotel, Giant Bicycles Kuching dan Barkath Co-Ro Manufacturing. – TVS