Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Foto: Bernama

Inflasi Malaysia mereda kepada 2.0 peratus pada Julai 2023 – Jabatan Perangkaan

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia, terus mereda kepada 2.0 peratus pada Julai 2023 iaitu yang terendah setakat tahun ini dengan mata indeks mencatat 130.5 berbanding 127.9 bagi tempoh sama tahun lepas.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata kadar inflasi yang mencatat 2.4 peratus bagi tahun ke tahun pada Jun, juga menunjukkan aliran yang menyederhana sejak Januari pada 3.7 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan perlahan kadar inflasi itu didorong oleh kenaikan lebih rendah bagi kumpulan restoran dan hotel pada 5.0 peratus (Jun 2023 : 5.4 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (4.4 peratus); kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.6 peratus) manakala kedua-dua kumpulan kesihatan dan pendidikan masing-masing meningkat sebanyak 2.0 peratus.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP, telah merekodkan peningkatan sederhana pada 4.4 peratus.

“Komponen makanan di rumah merekodkan peningkatan lebih rendah untuk lima bulan berturut-turut kepada 3.0 peratus bagi Julai 2023 berbanding 3.2 peratus dalam bulan sebelumnya.

“Kenaikan komponen makanan di rumah didorong terutamanya oleh subkumpulan daging (5.5 peratus); beras, roti dan bijirin lain (4.5 peratus); susu, keju dan telur (4.3 peratus) manakala gula, jem, madu, coklat dan manisan (3.5 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata subkumpulan daging termasuk daging ayam, lembu, kambing, kerbau dan daging itik mencatat peningkatan lebih tinggi pada 5.5 peratus bagi Julai 2023.

Beliau berkata ayam merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan daging, mencatat kenaikan 4.3 peratus berbanding 2.6 peratus pada Jun lepas.

Selain itu, katanya, sembilan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional pada 2.0 peratus dengan Wilayah Persekutuan Labuan mencatat peningkatan terendah sebanyak 1.1 peratus pada Julai 2023.

Bagaimanapun, hanya enam negeri mencatat peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pahang (2.6 peratus), Sarawak (2.6 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.6 peratus), Perak (2.4 peratus), Selangor (2.4 peratus) dan Melaka (2.2 peratus), kata beliau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan