Kuching, 15 Jun – Imuniti Kelompok belum dapat direalisasikan sekiranya sasaran 70 peratus rakyat di negara ini mendapat vaksin COVID-19 belum tercapai. Antara jenis vaksin yang telah digunakan di Malaysia ialah Pfizer-BioNtech, Astrazeneca dan Sinovac dan persoalan yang acap kali dibangkitkan oleh masyarakat ialah apakah perbezaan, keberkesanan dan kesan sampingan vaksin semua berkenaan.?
Menurut Pakar Gastroenterologi & Hepatologi Setempat, Dr. Liew Shan Fap , semua jenis vaksin yang digunakan di Malaysia berkesan, selamat dan paling penting sudah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Kesan-kesan sampingan yang serius amat jarang berlaku dan sudah banyak negara sudah menggunakan semua jenis vaksin ini dan tidak menghadapi banyak masalah.
“Setakat ini, lebih kurang 2.3 bilion dos vaksin yang telah digunakan dan kita tidak mendengar banyak masalah berkaitan vaksin ini. Mungkin ada kesan sampingan tetapi tidak banyak dilaporkan,” katanya ketika ditemui pemberita TVS di Pusat Perubatan Timberland pada Selasa.
Beliau juga menjelaskan, sekiranya ada kesan sampingan yang serius berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ada doktor terlatih yang akan merawat kes berkenaan dan ia nya bukan sesuatu yang sangat membimbangkan.
Menyentuh tentang keberkesanan vaksin, Dr. Liew berkata, semua jenis vaksin yang digunakan mempunyai keberkesanan yang sama dan tidak mempunyai banyak perbezaan.
Hal ini kerana, penyelidikan untuk vaksin itu dijalankan di populasi dan negara yang berbeza serta cara penyelidikannya turut berlainan.
“Jadi tidak dapat dibandingkan mana satu jenis vaksin yang paling berkesan dan ada kesan sampingan,” tambahnya lagi.
Ditanya mengenai Pendekatan Vaksinasi Mobil atau Vaksinasi Bergerak, Dr. Liew menyambut baik inisiatif tersebut kerana pada masa kini penduduk di luar bandar sangat memerlukan perkhidmatan seumpama itu.
“Untuk penduduk luar bandar datang ke bandar bagi mendapatkan vaksin sangat menyusahkan dan ramai yang ada masalah pengangkutan dan Vaksinasi Bergerak ini dapat memudahkan lagi penduduk di luar bandar datang mendapatkan vaksin,” Jelasnya lagi.