KUCHING, 24 Ogos: Penyerang kelahiran Sarawak, Nur Shamie Iszuan Amin berazam untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon.
Pemain berusia 28 tahun itu yang dipanggil menyertai kem latihan bersama skuad kebangsaan bermula 28 Ogos ini berkata, dia akan memberikan aksi terbaiknya dan seterusnya merebut tempat dalam senarai akhir.
Menurut pemain Sri Pahang FC itu, dia amat berbesar hati apabila menerima panggilan berkenaan serta menyifatkan sebagai peluang yang berharga dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.
“Ini merupakan kali kedua saya dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan.
“Semestinya saya mahu membalas kepercayaan diberikan oleh Pan Gon sekiranya diberi peluang untuk beraksi,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Pasukan kebangsaan kini dalam persiapan untuk menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Syria dan China masing-masing pada 6 dan 9 September 2023 di Chengdu, China.
Ditanya sama ada dia akan dapat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan, Nur Shamie berkata, perkara itu bukan masalah memandangkan majoriti pemain berada dalam skuad Piala AFF 2022.
Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 26 pemain yang bakal menggalas tanggungjawab tersebut.
Pan Gon mengekalkan 15 daripada 26 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu di Kuala Terengganu, Jun lepas.- TVS