GEORGE TOWN, 24 Ogos: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 16 nelayan warga asing bersama kira-kira dua tan hasil tangkapan laut menerusi pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan tempatan di perairan negara di negeri ini semalam.
Bot kelas C tersebut ditahan ketika krunya sedang menangkap ikan pada kedudukan 0.2 batu nautika timur Batu Maung dekat sini.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan didapati melakukan pelbagai kesalahan.
Beliau berkata, bot tersebut didapati menggunakan pukat jerut sebagai alat untuk menangkap ikan.
“Seramai 16 kru termasuk tekong terdiri daripada lima warga Thailand, Myanmar (seorang) dan Kemboja (10) berumur antara 19 hingga 59 tahun yang berada di atas bot itu.
“15 daripadanya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, manakala warga Myanmar tiada sebarang dokumen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Nak Rong, bot dan nelayan terbabit ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Pengarah Perikanan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit yang sah.
“Seorang kru warga Myanmar direman selama 14 hari untuk siasatan kerana tiada dokumen pengenalan diri.
“Bot dan hasil tangkapan kira-kira 2,000 kilogram yang dianggarkan bernilai RM6,000 telah dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM), Bayan Lepas untuk tindakan lanjut,” katanya. – TVS