KUCHING, 23 Ogos: Seminar mengenai pemuliharaan industri kraf tangan Sarawak perlu diperkasa agar produk dihasilkan sentiasa mendapat tempat di pasaran global.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bagi memastikan kelestarian budaya terus mapan, penggiat industri disaran supaya mendaftarkan produk mereka dengan Jabatan Warisan Negara.
Kata beliau, melalui pendaftaran berkenaan, ia dapat memelihara dan melindungi hak cipta industri kraf tangan di Sarawak.
“Sehubungan itu saya berharap pada seminar akan datang, kita akan membincangkan kaedah untuk memastikan kraf tangan dihasilkan di sini khususnya Pua Kumbu akan kembali disenaraikan dalam Seni Warisan Kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kraf Tangan Iban Women Charitable Trust (IWCT) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut usaha berkenaan, Douglas Uggah berkata, inventori kraf penting untuk melindungi warisan budaya dan mempromosikan tradisi artisan dan seterusnya mengekalkan tradisi untuk generasi akan datang.
Tambah Douglas Uggah, antara perkara yang perlu ditekankan adalah penggunaan bahan mentah yang berkualiti serta unik yang hanya terdapat dalam budaya dan adat setempat.
“Justeru, kita memerlukan pereka dan pencipta yang inovatif. Kita harus meneroka penggunaan mesin dan teknologi, terutamanya dalam pemasaran untuk memberi kelebihan kepada kita.
“(Usaha lain termasuklah) mengambil bahagian dalam pameran kraf dan artisan serta memanfaatkan platform digital untuk jualan,” katanya.
Sementara itu pada majlis sama, Douglas Uggah turut mengumumkan sumbangan RM50,000 untuk penganjuran pertandingan kraf tangan sama pada tahun hadapan.
Turut hadir, Penasihat IWCT, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Pengerusi IWCT Tan Sri Empiang Jabu dan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai. – TVS