KUCHING, 23 Ogos: Amalan inovasi serta kreativiti harus dijadikan budaya kerja seharian bagi menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak berkata, amalan berkenaan juga perlu diterapkan pada setiap masa dan bukan pada program khusus sahaja.
Malah katanya dalam menyampaikan perkhidmatan, ia harus berlandaskan misi dan visi kementerian demi kesejahteraan rakyat.
“Ini kerana ketika menjalankan tugas pada setiap hari, pelbagai cabaran (akan datang), maka di sinilah aspek inovasi dan kreatif itu penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Penutupan Konvensyen Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) 2023 di Pusat Konvensyen Penview Demak di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Fatimah mahu sistem maklumat, data dan statistik diperincikan bagi memudahkan bantuan dihulurkan.
“Data masih menjadi salah satu kelemahan kita, jadi kepada warga kementerian, saya berharap perkara ini dapat diperbaiki.
“Ia mestilah boleh dipercayai dan sentiasa dikemas kini, sebagai contoh jika ada bantuan diberikan, ia harus mempunyai tempoh masa yang diberikan, permulaan dan sebagainya,” katanya. -TVS