KUCHING: Penerima suntikan vaksin dinasihatkan untuk tidak hadir terlalu awal dan memadai hadir sekitar 15 ke 30 minit awal sebelum dijadualkan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), menurut Pegawai Perubatan PPV Stadium Perpaduan Kuching Dr Avina Melia.
Katanya, setiap penerima juga perlu memastikan mereka tidak lewat dari masa yang telah ditetapkan menerusi aplikasi MySejahtera.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai berlakunya kesesakan sebelum ini di beberapa PPV akibat daripada kehadiran penerima yang terlalu awal.
Dalam pada itu, Dr Avina turut mengingatkan penerima yang berstatus Pesakit Dalam Siasatan (PUI) untuk tidak hadir ke PPV sekiranya menerima janji temu ketika dalam tempoh kuarantin.
“Untuk yang berstatus PUI atau PUS mereka tidak digalakkan untuk datang ke stadium untuk menerima vaksin. So, tarikh temujanji akan dijadualkan semula mengikut MySejahtera,” ujarnya.
Sementara itu, kapasiti penerima vaksin di PPV Stadium Perpaduan kini meningkat sehingga 4,000 dos bermula hari ini.
Sejak dibuka, PPV Stadium Perpaduan Kuching telah memberi sebanyak 34,000 dos pertama dan 24,000 untuk dos kedua kepada penerima vaksin.