STOCKHOLM, 22 Ogos: Kerajaan Sarawak berada di landasan tepat mengikut model amalan terbaik institusi Ombudsman Sweden.
Menerusi kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha ini penting ke arah menubuhkan Ombudsman Sarawak sebagai jentera kerajaan negeri, sekali gus memastikan tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti.
“Seperti yang kita sedia maklum, institusi Ombudsman di Sweden adalah antara yang tertua di dunia iaitu sejak tahun 1809, maka model Ombudsman Sweden sebagai Ombudsman pertama dan tertua di dunia akan menjadi tempat rujukan terbaik.
“Jadi, saya amat yakin Kerajaan Sarawak tidak akan silap sekiranya mengikut amalan terbaik seperti institusi Ombudsman Sweden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai rombongan Kerajaan Sarawak semasa taklimat bersama Ketua Ombudsman Parlimen Sweden Erik Nymansson dan Penasihat Undang-Undang Kanan, Pengarah Penyelaras Antarabangsa Parlimen Sweden, Charlotte De Geer Fallman di Pejabat Ombudsman Parlimen Sweden hari ini.
Tegasnya, beliau yakin pemilihan Sweden sebagai model sistem Ombudsman adalah langkah yang tepat.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan, Kerajaan Sarawak akan melakukan pengubahsuaian dan penyesuaian untuk memenuhi keperluan sistem, budaya dan amalan tempatan.
Menurutnya, ini adalah seiring dengan hasrat Sarawak untuk menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Kerajaan negeri yakin aspirasi ini harus dilengkapkan dengan amalan terbaik ketelusan, tadbir urus yang baik dan integriti dalam agensinya.
“Ini kerana institusi Ombudsman adalah penting dalam menjaga hak dan kepentingan rakyat yang pada masa sama menggalakkan tadbir urus yang baik dan berkesan,” katanya.
Mengulas mengenai lawatan penanda aras itu, Premier Sarawak memberitahu, secara ringkasnya, lawatan penandaarasan ini pada asasnya adalah untuk mengkaji, memahami dan menanda aras struktur pentadbiran dan tadbir urus Ombudsman di Sweden.
“Lawatan penanda aras itu juga untuk mendapatkan input undang-undang dan prosedur untuk Ordinan Ombudsman negeri ini.
“Pada masa sama, menerusi lawatan penanda aras ini kita dapat mempelajari bagaimana Ombudsman memainkan peranannya dengan berkesan,” ujarnya lagi.
Turut mengiringi Abang Johari ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Duta Besar Malaysia ke Sweden, Hafizah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombusman), Dato Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Ahmad Nazri Mohd Hassan, Peguam Besar Negeri Sarawak, Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Peguam Besar Negeri Sarawak, Datu Saferi Ali dan Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Semawi Mohamad. – TVS